IPOH: Jenazah bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Abdullah Fadzil Che Wan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Panglima Kinta dekat sini, pada jam 3.15 petang Rabu.

Cuaca mendung mengiringi jenazah yang tiba di pekarangan tanah perkuburan dengan van jenazah dari Kajang, Selangor pada jam 2.20 petang.

Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah berkenan berangkat memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham adalah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, ketua-ketua jabatan, serta kira-kira 200 ahli keluarga dan kenalan Allahyarham.

Terdahulu solat jenazah Allahyarham di Masjid Panglima Kinta diimamkan Imam Besar Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh.

Dr Abdullah Fadzil dilahirkan di Bukit Chandan Kuala Kangsar, pada 30 Julai 1945.  - Foto Astro AWANI

Allahyarham yang merupakan bekas Orang Besar Jajahan Kinta dan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menghembuskan nafas terakhir di hadapan ahli keluarga di Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Kuala Lumpur kira-kira jam 5 pagi akibat radang paru-paru.

Jenazah dimandi dan dikafankan seterusnya disolatkan di Masjid Sungai Ramal, Kajang dan dibawa ke Masjid Panglima Kinta untuk sekali lagi disolatkan sebelum dikebumikan.

Allahyarham meninggalkan dua balu, Datin Seri Che Ezatul Hamsiah Hussein, 77, dan Sharifah Shahrul Bariah Syed Mokhtar, 66, bersama tujuh anak.

Dr Abdullah Fadzil dilahirkan di Bukit Chandan Kuala Kangsar, pada 30 Julai 1945. 

Ketika berada di kerusi Timbalan Presiden BAM pada tahun 1992, buat pertama kali skuad Malaysia berjaya merangkul Piala Thomas, serta meraih pingat pertama di temasya Sukan Olimpik menerusi adik-beradik Sidek, Datuk Razif-Datuk Seri Jalani dalam acara beregu lelaki di Olimpik Barcelona tahun sama.

Dalam pentadbiran kerajaan, selain jawatan Timbalan Menteri Pertahanan, Dr Abdullah Fadzil turut pernah menyandang jawatan sebagai Timbalan Menteri Luar  pada tahun 1987 hingga 1995 serta Ahli Parlimen Bukit Gantang (1986-2004).